BEKAS pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yakin prestasi Lee Zii Jia melonjak dengan kehadiran Wong Tat Meng, sebagai pengarah kejurulatihan Team LZJ.

Lagenda badminton negara itu berkata, kehadiran Tat Meng amat penting ketika pemain ranking kelapan dunia itu sedang melakukan persiapan mengharungi kelayakan Sukan Olimpik Paris, 2024.

Beliau berkata, paling penting ketika ini adalah komunikasi antara pemain dan jurulatih dalam melakukan perancangan untuk menghasilkan impak positif.

Lee Zii Jia bakal dilatih Wong Tat Meng.

“Ini adalah satu petanda positif untuk Zii Jia. Kalau kita tengok seluruh dunia, semua pemain utama dunia ada jurulatih sendiri. Ini adalah tempoh yang penting dengan kelayakan ke Sukan Olimpik sudah bermula.

“Sekarang Zii Jia sudah ada jurulatih. Saya harap mereka boleh membentuk kerjasama yang baik, komunikasi antara pemain dengan jurulatih itu yang paling penting.

“Saya harap kerjasama Zii Jia dan Tat Meng mampu menghasilkan keputusan yang baik buat negara. Saya percaya seluruh peminat juga gembira dengan keputusan Zii Jia mendapatkan khidmat jurulatih,” kata Chong Wei.

Chong Wei harap Zii Jia mampu berkomunikasi baik dengan Wong Tat Meng.

Pada Selasa, Zii Jia mengumumkan pelantikan Tat Meng selaku jurulatihnya dan akan memulakan tugas sebaik proses perpindahannya dari Hong Kong selesai.

Sejak lima bulan lalu, Zii Jia bergerak tanpa khidmat jurulatih selepas dia berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Tat Meng yang ketika ini menjadi jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong mempunyai pengalaman luas yang mana sebelum ini dia pernah membimbing skuad Korea Selatan selama empat tahun.

Wong Tat Meng ketilka melatih Kristy Gilmour dari Scotland.

Sepanjang bersama Korea, dia berjaya melonjakkan prestasi pemain perseorangan wanita negara itu, An Se-young yang kini bergelar pemain nombor dua dunia selain membantu negara berkenaan meraih gelaran Piala Uber tahun lalu.

Sebelum itu, Tat Meng juga pernah membimbing skuad badminton Indonesia pada 2012 dan Scotland dari 2016 hingga 2018.

“Kalau kita tengok pengalaman dimiliki Tat Meng, saya percaya dia boleh bantu Zii Jia. Namun, seperti yang saya katakan, apa yang paling penting adalah komunikasi, jika tidak memang sukar,” kata Chong Wei.