MENJELANG Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023, gandingan campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing beroleh suntikan semangat apabila senarai terkini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan mereka memasuki senarai ‘Top 5’.

Berdasarkan ranking dikemaskini BWF dua hari lalu, gandingan itu naik satu tangga ke tangga kelima dunia, pencapaian terbaik dicapai mereka setakat ini, dan menjadi tonik terbaik untuk menghadapi saingan saingan Super 1,000 Terbuka Malaysia 10 hingga 15 Januari depan.

Ranking Terkini BWF, 20 Disember 2022 (Beregu Campuran).

Begitupun, Kian Meng enggan mendabik dada dan terlalu selesa menghadapi edisi kali ini biarpun mereka berdepan cabaran pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru digandingkan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pusingan pertama.

“Tak… tidak mudah juga berdepan pemain junior yang juga rakan senegara, banyak yang akan terjadi dan kami hanya akan fokus mata demi mata,” kata Kian Meng, ditemui pada sesi latihan pemain profesional di gelanggang badminton Endah Parade.

Tan Kian Meng optimis berada pada tahap keceergasan terbaik untuk menghadapi saingan Terbuka Malaysia.

Kian Meng-Pei Jing diletakkan selaku pilihan keenam kali ini, bermula baik di awal tahun ini namun bergelut dengan prestasi sebaik pertengahan tahun.

Pada edisi Terbuka Malaysia 2022, mereka diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan kandas seawal pusaingan pertama apabila tunduk kepada satu lagi gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai, 18-21, 21-19, 18-21.

“Keadaan saya ketika ini sudah cergas sepenuhnya dari kecederaan “groin” yang dihadapi sebelum Terbuka Denmark lalu. Saya harap tuah menyebelahi kami kali ini.”