PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan langkah proaktif dengan meningkatkan dana bagi pembangunan bola sepak negara, demi memastikan kemajuan sukan kebanggaan rakyat terus diperkasa.

Peruntukan sebanyak RM30 juta kini diperuntukkan kepada skuad Harimau Malaya, menggandakan jumlah asal RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 tempoh hari.

“Bola sepak sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia, termasuk diri saya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung terkait situasi melibatkan pasukan Harimau Malaya. 

“Pelbagai usaha berterusan dilakukan Kerajaan MADANI bersama beberapa pihak lain dalam memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh sekaligus muncul sebagai gergasi bola sepak asia,” ujar beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Daripada jumlah ini, RM15 juta akan dibiayai oleh sektor swasta, sebagai usaha bersama Kerajaan MADANI dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan pembangunan menyeluruh bola sepak negara.

Dana ini akan digunakan untuk meningkatkan program pembangunan pemain di semua peringkat, serta memperkukuh pasukan utama dalam menghadapi kejohanan antarabangsa.

Selain itu, langkah utama yang ditekankan adalah pembinaan skuad pelapis menerusi pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara.

Anwar turut menekankan kepentingan sokongan profesional kepada pemain kebangsaan.

“Dana ini akan dimanfaatkan oleh  Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi, dengan perubahan total di semua sudut.

“Ini bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik,” tambah Anwar.

Kini peruntukan sebanyak RM30 juta kepada skuad Harimau Malaya

Disamping itu, beliau juga berharap agar Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail akan terus menyokong usaha pembangunan bola sepak Malaysia.

Menurut beliau lagi, pengalaman dan hubungan luas Tunku Ismail dalam industri bola sepak antarabangsa merupakan aset tidak ternilai untuk membantu Harimau Malaya.

Sebagai tambahan, Anwar menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.

“Saya berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa,” tambahnya.