TAN Bin Shen yakin skuad beregu lelaki badminton kebangsaan akan lebih baik selepas ini, apabila legenda Indonesia, Herry Iman Pierngadi mengambil alih kekosongan jawatan yang ditinggalkannya, bermula bulan depan.

Bin Shen yang mengakhiri tugasnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini berkata, beliau yakin reputasi besar Herry mampu mengubah landskap badminton negara untuk lebih gemilang di masa akan datang.

“Bagi saya bagus kerana Herry sangat berpengalaman, beliau menjadi jurulatih sejak zaman saya bergelar pemain lagi.

“Dia pernah melatih Tony Gunawan, Kevin dan ramai lagi malah lebih penting, beliau memiliki rekod keputusan yang baik.

“Saya rasa bagus Malaysia berjaya mendapatkan Herry untuk meningkatkan prestasi pasukan beregu lelaki,” kata Bin Shen, mengenai bakal penggantinya itu.

Herry dijadual mula bertugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) 1 Februari depan, manakala Bin Shen pula belum diberi tarikh memulakan tugas bersama pasukan baharunya, Hong Kong.

Mengakhiri tugasannya di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, juara Terbuka Australia 2009 bersama Gan Teik Chai itu berpuas hati dengan anak didiknya, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mara ke separuh akhir.

“Aaron  Chia-Soh Wooi Yik kandas awal tapi mungkin mereka terjejas dengan kecederaan ringan yang melanda Aaron hingga tak selesa di gelanggang… saya harap ia tidak menjejaskan prestasinya untuk kejohanan selepas ini.

“Arif Junaidi dan Yap Roy King juga bermain baik walaupun gagal melepasi pusingan perama, yang penting semangat yang ditunjukkan mereka,” katanya.