BINTANG bola sepak Brazil, Neymar, sekali lagi membuktikan cintanya kepada kelab zaman kanak-kanaknya, Santos, apabila bersedia membuat pengorbanan besar dengan menerima pemotongan gaji yang ketara bagi memastikan kepulangannya ke Brazil dapat direalisasikan bulan ini.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang kini berada di bawah kontrak bersama kelab gergasi Liga Pro Saudi, Al-Hilal, dikatakan telah bersetuju untuk menerima gaji yang jauh lebih rendah daripada apa yang diperolehnya sekarang.
Neymar, yang menyertai Al-Hilal pada musim panas 2023, mengalami mimpi ngeri sepanjang kerjayanya di Arab Saudi.
Ini kerana prestasinya terjejas akibat kecederaan serius, menyebabkan Neymar hanya beraksi dalam tujuh perlawanan sepanjang satu setengah tahun bersama kelab tersebut.
Keadaan ini membawa kepada keputusan pengurus Al-Hilal, Jorge Jesus, untuk tidak mendaftarkan Neymar bagi separuh kedua musim Liga Pro Saudi.
Bagi Neymar, pengorbanan ini bukan sahaja melibatkan aspek kewangan tetapi juga keazamannya untuk kembali cemerlang bersama kelab yang pernah menjadi titik permulaan kerjayanya sebagai seorang bintang bola sepak.
Langkah berani ini membuktikan bahawa nilai cinta terhadap kelab lebih tinggi daripada soal wang, dan ini mungkin menjadi permulaan baru untuk kerjayanya selepas melalui tempoh sukar di Arab Saudi.