KELAB Manchester United mencipta kebangkitan dramatik paling epik musim ini apabila Harry Maguire muncul wira dengan jaringan pada minit ke-121 untuk membawa The Red Devils mara ke separuh akhir Liga Europa UEFA (UEL) selepas menewaskan Lyon 5-4 dalam aksi kedua suku akhir awal pagi tadi, sekali gus melakar agregat kemenangan 7-6 yang cukup mendebarkan di Old Trafford.

Segalanya tampak mudah buat skuad kendalian Ruben Amorim apabila Manuel Ugarte dan Diogo Dalot memberikan kelebihan dua gol sebelum rehat, namun kegagalan memanfaatkan peluang keemasan termasuk daripada Alejandro Garnacho membuka ruang kepada Lyon bangkit menyamakan kedudukan. Gol oleh Corentin Tolisso dan Nicolas Tagliafico menyamakan kedudukan dalam masa enam minit yang menyentap Old Trafford.

Drama semakin memuncak apabila Tolisso dibuang padang lewat perlawanan. Namun, sebaik bermula masa tambahan, Lyon sekali lagi memberi kejutan. Rayan Cherki meledak gol menakjubkan, diikuti penalti Alexandre Lacazette yang hampir memadam harapan tuan rumah. Namun United enggan menyerah.

Bruno Fernandes menghidupkan kembali peluang dengan menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Kobbie Mainoo menyamakan kedudukan dalam detik terakhir yang disangka penutup perlawanan. Tetapi Maguire punya skrip lain sundulannya pada minit ke-121 hasil hantaran Casemiro meletupkan Old Trafford dan menjadi jaringan kemenangan paling lewat dalam sejarah Liga Europa.

United kini menjadi pasukan pertama dalam sejarah bola sepak Eropah yang menjaringkan dua gol pada minit ke-120 dalam satu perlawanan kejohanan utama.

“Ia perlawanan luar biasa. Kami jadikan ia susah untuk diri sendiri, tapi saya tahu kami akan dapat peluang lagi. Mujur saya berjaya menjaringkan gol penentu itu. Perasaan itu luar biasa,” ujar Maguire.

Old Trafford yang musim ini sering menjadi tempat luka dalam saingan liga, kali ini kembali hidup dengan semangat Eropah yang sudah lama dirindui. Kemenangan ini bukan sekadar membawa United ke separuh akhir menentang Athletic Bilbao, malah ia meniup semula keyakinan bahawa keajaiban masih hidup di Theatre of Dreams.