PENGENDALI baharu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain, kini memikul tanggungjawab besar untuk membawa skuad muda negara mencipta kejayaan di tiga kejohanan utama pada tahun 2025.

Dengan Kejohanan ASEAN B-23, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026, dan Sukan SEA 2025 sebagai fokus utama, Nafuzi telah memulakan langkah awal memantau bakat-bakat baharu dalam saingan Liga Super dan Piala MFL sejak Januari lalu.

Menurut Nafuzi, peluang terbuka luas untuk semua pemain yang menunjukkan prestasi terbaik.

“Saya terbuka kepada mana-mana pemain, mungkin memanggil bakat-bakat baharu. Pemain-pemain sedia ada jika mereka menunjukkan prestasi terbaik, Insya Allah mereka akan berada dalam pasukan,” ujarnya.

Dalam usaha membentuk pasukan mantap, beliau turut bersedia memberikan peluang kepada pemain-pemain yang pernah menyarung jersi Malaysia B-23 sebelum ini, sambil menilai bakat baharu untuk memperkukuh cabaran pasukan di pentas antarabangsa.

Nafuzi Zain mengambil alih tampuk kepimpinan Malaysia B-23 daripada Juan Torres Garrido dari Sepanyol, dalam rangka revolusi baharu Harimau Malaya yang diumumkan Disember lalu.

Revolusi ini turut melibatkan nama besar seperti Peter Cklamovski sebagai jurulatih skuad senior, Rob Friend sebagai Pengarah Teknikal, dan Dr. Craig Duncan yang bertanggungjawab dalam aspek sains sukan.

Perancangan Nafuzi dijangka bermula dengan panggilan pertama untuk pemain pada Mac ini, sebagai persediaan menghadapi Kejohanan ASEAN B-23 yang akan membuka tirai cabaran tahun 2025.

Fokus Nafuzi jelas dengan membina pasukan yang bukan sahaja kompetitif tetapi mampu memberikan cabaran di tiga kejohanan utama ini.

Mampukah Nafuzi Zain merealisasikan impian besar bola sepak Malaysia dengan membawa skuad muda ke puncak?

Semua mata kini tertumpu kepada langkah pertama beliau, yang dilihat bakal mencorak hala tuju masa depan skuad B-23 negara.