Algeria’s midfielder #22 Ibrahim Maza (C) celebrates scoring his team’s third goal with Algeria’s forward #11 Anis Hadj Moussa during the Africa Cup of Nations (CAN) Group E football match between Equatorial Guinea and Algeria at Moulay Hassan Stadium in Rabat on December 31, 2025. (Photo by Gabriel BOUYS / AFP)
Jaringan lewat pemain sayap Algeria, Anis Hadj Moussa memastikan Belanda pulang kecewa apabila tewas 0-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa menjelang Piala Dunia 2026 di Stadium De Kuip, awal pagi tadi.
Bintang Feyenoord itu muncul wira pasukan pelawat apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-86 di gelanggang yang menjadi rumahnya di peringkat kelab, sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat Algeria menjelang saingan Piala Dunia.
Selepas aksi seimbang pada babak pertama, Algeria tampil lebih agresif selepas rehat dan berjaya memberi tekanan berterusan kepada benteng pertahanan Belanda yang gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik mereka.
Ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Hadj Moussa melakukan larian dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan padu yang menewaskan penjaga gol tuan rumah untuk mencipta jaringan antarabangsa pertamanya.
Gol tersebut turut menceriakan ribuan penyokong Algeria yang membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan.
Belanda sebenarnya mempunyai peluang untuk berada di hadapan lebih awal, namun kegagalan penyudah menjadi punca mereka gagal memecahkan kebuntuan.
Kapten Belanda, Virgil van Dijk mengakui pasukannya perlu lebih tajam di hadapan gol menjelang kempen Piala Dunia yang bakal bermula tidak lama lagi.
“Kami mencipta peluang yang mencukupi untuk mendahului perlawanan, namun gagal menyudahkannya. Sudah tentu ini bukan keputusan yang kami harapkan sebelum berlepas ke Piala Dunia,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Algeria, Luca Zidane turut memainkan peranan penting dalam kemenangan tersebut apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting bagi memastikan gawang pasukannya kekal kebal.
Kemenangan itu memberi suntikan keyakinan kepada Algeria yang akan membuka kempen Kumpulan J menentang juara bertahan, Argentina, manakala Belanda dijadual menentang Uzbekistan dalam satu lagi aksi pemanas badan sebelum memulakan cabaran Kumpulan F berdepan Jepun.