PASUKAN Star City FC meneruskan usaha memperkukuhkan skuad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2026/2027 apabila mengesahkan kehadiran pemain naturalisasi Malaysia-Brazil, Endrick dos Santos.
Pemain berusia 31 tahun itu diumumkan sebagai rekrut terbaharu kelab menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial rasmi Star City FC.
Kehadiran Endrick menambah lagi senarai pemain baharu yang dibawa masuk musim ini selepas kelab itu terlebih dahulu mendapatkan khidmat Engku Shakir, Syafik Ismail, Harith Samsuri, T. Saravanan, Hafizul Hakim, Syahmi Zamri dan bekas kapten Kedah Darul Aman FC, Akmal Zahir.
Menurut kenyataan kelab, Endrick dijangka menjadi antara tonggak penting di bahagian tengah dan serangan hasil pengalaman luas yang dimilikinya di pentas bola sepak tempatan.
Pemain kelahiran Santana, Brazil itu terkenal dengan kebolehannya beraksi di beberapa posisi selain memiliki kekuatan fizikal dan keupayaan mengawal permainan di kawasan serangan.
Endrick bukanlah nama asing dalam Liga Malaysia selepas sebelum ini pernah mewakili FELCRA FC, Selangor FC, Penang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sepanjang bersama Harimau Selatan, beliau membantu JDT merangkul pelbagai kejuaraan termasuk dua gelaran Liga Super, selain menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.
Pengalaman luas yang dimiliki pemain naturalisasi negara itu diharap mampu memberi nilai tambah kepada Star City, yang dilihat serius membentuk skuad lebih kompetitif menjelang kempen baharu Liga Super.