Kredit Gambar: JUAN MABROMATA/AFP
KETUA jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengakui Lionel Messi kekal menjadi ancaman utama yang perlu diberi perhatian menjelang final Piala Dunia 2026, namun menegaskan pasukannya tidak akan menggunakan strategi kawalan individu untuk menyekat bintang Argentina itu.
Menurut De la Fuente, pengalaman berdepan Messi sejak pemain itu masih di peringkat remaja membuktikan pendekatan mengawal secara “man-to-man” bukanlah penyelesaian terbaik.
Beliau mendedahkan pernah mengarahkan seorang pemain mengawal Messi ketika membimbing skuad remaja Sevilla dalam aksi menentang Barcelona suatu ketika dahulu, namun strategi itu gagal memberikan hasil yang diharapkan.
“Saya pertama kali menentangnya ketika bersama pasukan remaja Sevilla. Sebelum perlawanan, kami sudah mendengar mengenai seorang pemain muda bernama Messi.
“Kami mengarahkan seorang pemain mengawalnya secara individu, tetapi selepas dia menerima kad kuning pada minit ke-70, saya mengeluarkannya. Ketika itu kedudukan masih 0-0.
“Dalam tempoh kira-kira 15 minit selepas itu, Messi menjaringkan empat gol. Sejak hari itu saya belajar bahawa pendekatan itu bukan penyelesaiannya,” katanya.
Sehubungan itu, pengendali La Roja itu menjelaskan pasukannya akan lebih menumpukan kepada disiplin bertahan secara berpasukan bagi mengehadkan pengaruh kapten Argentina itu sepanjang perlawanan.
“Kami tidak akan menggunakan kawalan individu. Apa yang penting ialah semua pemain sentiasa berwaspada dan memberikan perhatian khusus kepadanya,” katanya lagi.
Messi, 39, sekali lagi menjadi tonggak utama Argentina apabila membantu juara bertahan itu mara ke pentas final dan dijangka membuat penampilan terakhirnya di Piala Dunia.
De la Fuente turut melabelkan pemenang lapan kali Ballon d’Or itu sebagai pemain yang sukar ditandingi, selain menyifatkan Messi sebagai contoh terbaik kepada generasi muda menerusi profesionalisme serta prestasi konsisten yang masih dipamerkannya di pentas tertinggi dunia.