Oleh: MOHD FARIQ

SESI latihan pasukan kebangsaan petang tadi (Isnin) diadakan di Wisma FAM, membawa seribu satu macam kenangan buat penulis.

Gerimis yang disusuli hujan lebat membasahi rumput jenis Bermuda itu namun ia tidak mematahkan semangat pemain. Sebaliknya, jiwa mereka disirami dengan keyakinan bahawa prospek untuk Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 adalah cukup cerah, dalam penantian selama 43 tahun.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Amin seperti biasa, berada di tepi padang, seperti seorang bapa kepada satu keluarga besar.

Dan tumpuan di tengah padang, jurulatih Kim Pan-gon tampak tenang mengumpul anak buahnya menjalani sesi latihan ringan.

 

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu kelihatan cukup fokus untuk malam penentuan sama ada dia dapat menjayakan misi yang sebelum ini gagal disempurnakan generasi jurulatih terdahulu.

Sepanjang dekad 1990-an dan memasuki era milenium, Ken Worden, Claude Le Roy, Wan Jamak Hassan, Abdul Rahman Ibrahim dan Allan Harris mengerah anak buah mereka tanpa menampakkan hasil nyata.

Sama ada membetulkan posisi badan dalam menghadapi asakan lawan, menyuruh bek kiri dan kanan ‘push up’, mendesak pemain tengah memperlahankan tempo serta melakukan drilling atau berlatih set-piece, semua jurulatih yang penulis sebut gagal membawa pasukan generasi mereka ke pusingan akhir Piala Asia AFC.

Le Roy satu-satu tidak berkesempatan melalui kempen kelayakan Piala Asia AFC kerana kembaranya di Malaysia bertahan tidak sampai 24 bulan, sebelum Wan Jamak mengambil alih.

Hampir dua dekad sudah berlalu sejak Harris menyaksikan anak buahnya tersangkut di peringkat kumpulan, sekalipun mengikat Bahrain 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober 2003.

Pan-gon membawa aura tersendiri.

Selaku jurulatih pertama dari benua Asia yang mengisi kerusi panas ini, Pan-gon membawa sinar baharu buat Harimau Malaya.

 

Kemenangan ke atas Filipina, Brunei dan Hong Kong disusuli perlawanan pembukaan kempen kali ini dengan kemenangan ke atas Turkmenistan mencipta momentum yang hanya diperlahankan apabila dikalahkan Bahrain pada Sabtu lalu.

Namun apabila penyokong termasuk Ultras Malaya, kelompok penyokong yang sukar dipuaskan hati mereka, menyanyikan Negaraku dan Warisan yang dipopularkan oleh biduan negara Allahyarham Sudirman Haji Arshad menyusul selepas pertemuan dengan Bahrain, Harimau Malaya mendapat isyarat bahawa mereka dihargai.

Andai anak buah Pan-gon melakar kemenangan malam esok, Harimau Malaya dijangka mengisi jadual dua tahun mendatang dengan siri perlawanan menentang negara lebih maju dalam bola sepak.

Bagi Christopher Raj, ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang pernah menjadi wartawan New Straits Times, dia percaya pasukan negara akan meraih faedah sekiranya menang ke atas Bangladesh dan seterusnya mara ke pusingan akhir secara merit.

Secara santai, Raj, yang turut berada di padang latihan, FAM mahu melihat tahun-tahun mendatang dengan nada optimis, dengan syarat Malaysia menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia AFC.

“Andai ini berlaku, usaha FAM untuk mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan Asia atau Eropah lebih mudah. Jika sebaliknya, FAM akan berbalik kepada kesukaran untuk bermain dengan pasukan yang lebih baik untuk sususan jadual akan datang terutamnya masa dua tahun akan datang ,” kata Raj yang juga pengurus pasukan Bawah 17 tahun kebangsaan.

Bagaimanapun, Bangladesh tidak boleh dipandang rendah.

Tewas 2-0 kepada Bahrain dan kalah tipis 2-1 kepada Turkmenistan, Bangladesh yang digelar Harimau Benggala, agak liat untuk diratah. Mereka bukan pasukan belasahan.

Seri tanpa jaringan dengan Indonesia sebelum mereka tiba di Kuala Lumpur, Bangladesh yang diketuai Jamal Bhuyan tentu sedar bahawa tekanan dipikul Harimau Malaya.

 

Tetapi dengan pelbagai faktor yang memihak kepada tuan rumah, meskipun status padang national  di Stadium Nasional menjadi bualan hangat peminat, Pan-gon bersama anak buahnya berdepan kemungkinan mencipta sejarah.

Dengan di perlihatkan setiap tingkah laku pemain semasa latihan dan selepas latihan, mereka dahagakan kemenangan yang amat bermakna esok malam.

Jadikan malam esok malam Harimau Malaya dan penyokong penuhkan stadium. Teruskan sokongan. Ini yang pemain perlukan, jangan risau pemain tak hilang fokus!.