PENGENDALI Bahrain, Helio Sousa mahu menamatkan kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata maksimum menjelang pertemuan dengan Turkmenistan pada Selasa.

Sousa berkata,  objektif ini telah ditetapkan oleh mereka sebelum datang ke Malaysia sekaligus mengesahkan tempat mereka di pusingan akhir Piala Asia dan kini hanya tinggal satu perlawanan untuk mendapatkan sasaran itu.

Jurulatih kelahiran Portugal ini juga akan mengekalkan taktikal yang sama kerana taktikal yang diguna sebelum ini telah terbukti memberi keputusan positif buat mereka dan mereka mahukan kemenangan meskipun keputusan seri sudah cukup untuk mereka layak.

 

“Kami datang ke sini untuk menang dan kami akan pastikan untuk mendapatkan mata maksimum. Esok adalah satu lagi perlawanan yang sukar tetapi kami sudah membuat persiapan untuk menghadapinya dan saya percaya pemain faham dan mampu untuk mencapai kemenangan.

“Kami akan menggunakan struktur yang sama kerana apa yang penting kami hanya mahukan kemenangan dan layak ke Piala Asia dan pemain dapat mengadaptasi dengan keadaan padang dan cuaca selepas apa yang dihadapi pada dua perlawanan sebelum ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Isnin.

Sementara itu ketua jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew mengakui pasukannya tidak menjangka akan berdepan laluan berliku dan kini mereka terdesak apabila memerlukan kemenangan ke atas Bahrain.

 

Ini kerana mereka menyasarkan untuk menang kesemua perlawanan dan tidak menyangka akan tewas mengejut kepada Harimau Malaya pada aksi pertama.

Dia juga akan memastikan pemain-pemainnya beraksi dengan lebih baik dan mahukan mereka mengurangkan kesilapan-kesilapan kecil yang mampu membawa padah.

“Kami tidak menjangka akan berdepan situasi seperti ini kerana kami sudah membuat persiapan untuk menang setiap perlawanan. Kami tidak menjangka akan tewas kepada Malaysia tetapi tuan rumah bermain baik pada 20 minit pertama dan menghukum kami.

“Perlawanan esok pastinya amat sukar buat kami kerana kami perlukan kemenangan ke atas Bahrain yang lebih kuat dan pastinya kami tidak mahu keciciran mata,” katanya.

Bahrain dan Turkmenistan akan berentap sesama sendiri petang esok dengan sebarang keputusan positif akan membawa Bahrain ke Piala Asia manakala Turkmenistan perlu menanti keputusan perlawanan di antara Malaysia dan Bangladesh untuk mengetahui nasib mereka.