FIFA ASEAN Cup 2026 dijangka menjadi rebutan baharu kuasa bola sepak Asia Tenggara apabila juaranya bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai berjumlah RM4.3 juta, jumlah tertinggi pernah ditawarkan dalam sejarah kejohanan serantau itu.

Ganjaran berkenaan melebihi tiga kali ganda hadiah yang diterima juara ASEAN Hyundai Cup 2026 bernilai RM1.2 juta, sekali gus meningkatkan lagi prestij kejohanan yang bakal menghimpunkan pasukan terbaik rantau ini termasuk Harimau Malaya, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Lebih menarik, setiap pasukan yang layak ke kejohanan itu turut dijamin menerima RM540,000 sebagai insentif penyertaan, selain bonus tambahan bagi setiap kemenangan atau keputusan seri yang dicatat sepanjang saingan.

Format pertandingan yang ringkas turut menjadikan kejohanan itu lebih kompetitif apabila sesebuah pasukan hanya perlu mengharungi empat perlawanan untuk muncul juara, sekali gus membuka peluang meraih ganjaran jutaan ringgit dalam tempoh singkat.

Bagi Harimau Malaya, peluang menjulang trofi bukan sahaja membawa maruah sebagai juara Asia Tenggara, malah berpotensi menghadiahkan suntikan kewangan besar yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan akar umbi, latihan skuad remaja, sains sukan, pembangunan jurulatih serta penambahbaikan kemudahan bola sepak negara.

Dengan hadiah lumayan yang ditawarkan, FIFA ASEAN Cup 2026 dijangka mencetuskan persaingan lebih sengit dalam kalangan kuasa bola sepak rantau ini, sekali gus mengangkat kejohanan berkenaan ke satu tahap baharu sebagai pentas paling berprestij di Asia Tenggara.