Kredit Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan sedang meneliti kemungkinan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini bagi menggantikan Grand Prix (GP) Bahrain.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya sudah menerima makluman awal mengenai cadangan itu, namun sebarang keputusan hanya akan diumumkan selepas semua aspek berkaitan dimuktamadkan.

“YAB Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan F1 Bahrain. Sehubungan dengan perkara ini, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, KBS kekal komited menyokong pembangunan sukan negara termasuk sukan permotoran, manakala sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas proses penelitian selesai.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Sepang muncul sebagai antara pilihan menggantikan GP Bahrain yang berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat, dengan perlumbaan berpotensi diadakan di antara GP Azerbaijan dan GP Singapura.

Sekiranya menjadi kenyataan, ia bakal menyaksikan F1 kembali ke Sepang buat kali pertama sejak 2017, sekali gus menghidupkan semula perlumbaan berprestij dunia itu di Malaysia selepas hampir sedekad.