STADIUM Titiwangsa kini rasmi bergelar “Home of Sepak Takraw” sekali gus mengangkat statusnya sebagai nadi baharu perkembangan sukan tradisi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata penjenamaan itu dibuat susulan pencapaian memberangsangkan skuad negara di pentas antarabangsa tahun lalu.

Beliau menjelaskan keputusan tersebut dipersetujui bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa perlu pembinaan gelanggang baharu bagi memastikan penggunaan fasiliti lebih optimum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh merasmikan nama baharu Stadium Titiwangsa kepada Home Of Sepak Takraw (HOST).

“Susulan prestasi cemerlang pasukan sepak takraw, kita bersetuju menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw (HOST) dan diharap pihak Persekutuan Sepaktakraw Malaysia dapat manfaat sepenuhnya,” katanya, selepas secara rasmi mengumumkan Stadium Titiwangsa sebagai HOST.

Hannah menegaskan fasiliti itu tetap terbuka kepada sukan lain untuk disewa namun kini sepak takraw mempunyai identiti tersendiri melalui akademi dan stadium khas.

Menurutnya, fasa pertama naik taraf melibatkan kos kira-kira RM80,000 manakala keseluruhan peruntukan mencecah sekitar RM200,000 merangkumi mural identiti, papan skor LED, ruang VIP dan kemudahan sokongan lain.

Kepimpinan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia bergambar pada hari bersejarah.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai detik bersejarah yang membakar semangat komuniti takraw negara.

“Pengumuman ini bukan sekadar nama, tetapi menjadikan stadium ikonik di ibu kota sebagai sumber inspirasi kepada pemain dan peminat,” katanya.

Untuk rekod, skuad negara menjuarai Piala Asia di venue sama selain meraih dua emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang mengukuhkan lagi rasional penjenamaan berkenaan.

HOST juga akan menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadual berlangsung pada Mei.