DENGAN hanya tinggal 18 hari sebelum sepak mula aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2025 menentang Nepal, skuad Harimau Malaya masih belum mengumumkan senarai pemain yang akan dipanggil ke kem latihan.

Sementara itu, lawan mereka, Nepal, dilihat sudah bersiap siaga apabila memulakan latihan awal di bawah kendalian jurulatih baharu, Matt Rose dari Australia.

Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) pantas bertindak dengan melantik Rose untuk membimbing The Gorkhalis menjelang jendela antarabangsa bulan Mac ini.

Lebih meyakinkan, seramai 30 pemain telah dipanggil untuk menyertai latihan pusat, termasuk kapten berpengalaman dan bekas tonggak import T-Team, Rohit Chand, yang bakal menjadi sandaran utama pasukan.

Di kem Malaysia pula, walaupun kelibat Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski dan penolongnya, Mark Milligan, sering dilihat hadir ke stadium untuk memantau pemain dalam saingan domestik, namun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai senarai panggilan ke kem latihan.

Situasi ini pastinya menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong yang mengharapkan persiapan lebih tersusun untuk menghadapi saingan penting ini.

Sebagai perbandingan, langkah proaktif Nepal memulakan latihan lebih awal memberi gambaran jelas bahawa mereka tidak mahu hadir sebagai pelengkap jadual. Sementara Harimau Malaya masih dalam fasa pencarian pemain terbaik, The Gorkhalis sudah mula membina keserasian dalam pasukan.

Namun, Cklamovski tentunya mempunyai perancangan tersendiri untuk membentuk skuad yang kompetitif.

Dengan barisan pemain berbakat dalam liga tempatan, jurulatih dari Australia itu dijangka akan memanfaatkan masa yang ada untuk mengumpulkan pemain terbaik dan mencorak taktikal ampuh bagi memastikan Malaysia bermula garang di Stadium Sultan Ibrahim 25 Mac ini.