KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia National Team (MNT), Rob Friend menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam sebarang urusan dokumentasi berkaitan pemain-pemain warisan yang kini menjadi tumpuan susulan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, tanggungjawab pasukan kebangsaan hanya tertumpu kepada aspek teknikal, prestasi dan perancangan taktikal bersama ketua jurulatih, Peter Clamovski — bukan dalam urusan pendaftaran mahupun naturalisasi pemain.

“Peranan kami jelas. Kami tidak terlibat dalam dokumentasi. Kami hanya akan menerima maklumat daripada FAM mengenai pemain yang dalam proses naturalisasi, dan selepas FIFA mengesahkan kelayakan mereka, barulah kami masukkan pemain itu ke dalam perancangan pasukan,” katanya dalam sidang media khas yang turut dihadiri barisan peguam antarabangsa yang mewakili skuad negara.

Friend turut menjelaskan bahawa beliau hanya mula terlibat secara langsung dalam isu ini selepas FIFA memulakan siasatan rasmi terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit pada 22 Ogos lalu.

“Sebagai CEO pasukan kebangsaan, saya bertanggungjawab melindungi pemain-pemain kami. Mereka sudah berjuang untuk negara ini, mereka berdarah Malaysia, dan tugas saya adalah mempertahankan maruah pasukan serta integriti bola sepak Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, beliau segera ke Zurich dan Miami bagi bertemu pegawai FIFA serta barisan peguam antarabangsa untuk memahami secara terperinci proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Kami mahu bersikap telus dan bekerjasama dengan FIFA untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku. Kami juga mahu memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi. Saya telah ke Zurich dan Miami beberapa kali, bertemu wakil FIFA dan pasukan undang-undang untuk membuktikan kami bertindak dengan niat baik,” katanya.

Dalam masa sama, Friend menzahirkan rasa bangga terhadap ketabahan skuad Harimau Malaya yang kekal fokus dan terus beraksi dengan semangat tinggi biarpun isu ini menjejaskan imej bola sepak negara.

“Saya bangga dengan pasukan ini. Peter dan para pemain menunjukkan profesionalisme luar biasa. Kemenangan 5-1 ke atas Laos baru-baru ini membuktikan semangat mereka tidak luntur walaupun dilanda krisis. Kami akan terus berjuang demi pemain, pasukan, dan negara,” tegasnya.