KARISMA Arena, Seremban bakal menjadi tumpuan peminat sukan tempur apabila Fury Championship Vol. 2 berlangsung pada Sabtu ini, 25 Julai 2026, dengan menghimpunkan petarung Muay Thai dan tinju dari Malaysia serta luar negara.

Edisi kedua kejohanan itu menjanjikan aksi lebih kompetitif menerusi dua perebutan gelaran berprestij yang menjadi kemuncak acara, termasuk kejuaraan Muay Thai pertama yang diperkenalkan oleh Fury Championship.

Pertarungan utama menyaksikan wakil Malaysia, Izat Zaki, berdepan petarung Indonesia, Brian “The Spoiled Boy”, bagi merebut gelaran sulung Fury Muay Thai Lightweight Championship.

Pertembungan tersebut bakal melakar sejarah apabila pemenangnya dinobatkan sebagai juara pertama bagi kategori berkenaan sejak Fury Championship diperkenalkan.

Sementara itu, pertarungan separa utama menyaksikan Putih “Pretty Boy” dari Malaysia menentang Ilham “Flanker” Levisa dari Indonesia bagi merebut gelaran tinju OPBF Silver Super Lightweight Championship.

Perebutan gelaran OPBF itu dijangka menjadi antara tarikan utama kejohanan, selain membuka ruang kepada petinju tempatan untuk bersaing pada pentas yang mendapat perhatian peminat sukan tempur serantau.

Aksi di gelanggang dijadualkan bermula menerusi pertarungan pembukaan yang boleh disaksikan secara percuma (Free Bouts) pada jam 5.25 petang. Acara kemudiannya diteruskan dengan rangkaian pertarungan utama secara bayar setiap tontonan (PPV) bermula jam 8.00 malam, termasuk pertarungan separa utama dan pertarungan utama.

Selain aksi Muay Thai dan tinju, penonton turut disajikan dengan persembahan khas “Tiket Sehala”, di samping kehadiran tetamu kenamaan dan majlis penutup yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 11.00 malam.

Tiket untuk menyaksikan Fury Championship Vol. 2 secara langsung di Karisma Arena boleh dibeli secara eksklusif menerusi platform WowTix.

Peminat yang tidak dapat hadir pula boleh mengikuti aksi kejohanan secara PPV menerusi platform Tonton. Kandungan terpilih turut disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube dan TikTok rasmi Fury Championship di @furychampionshipmy.

Fury Championship Vol. 2 bukan sahaja menjadi pentas untuk mengetengahkan bakat sukan tempur tempatan, malah memberi peluang kepada petarung Malaysia menguji kemampuan menentang lawan antarabangsa, sekali gus memperluas daya tarikan negara sebagai destinasi penganjuran acara sukan tempur serantau.