TIGA atlet paralimpik, Cheah Liek Hou, Ziyad Zolkefli, dan Bonnie Bunyau Gustin menerima kereta baharu jenama Chery dengan diskaun istimewa yang ditawarkan oleh Chery Malaysia.

Sebagai inisiatif menghargai pencapaian atlet paralimpik negara di Paralimpik Paris tahun lalu, Chery Malaysia menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pemenang pingat emas Paralimpik.

Atlet yang mara ke separuh akhir menerima diskaun 30 peratus, manakala mereka yang layak ke Olimpik Paris diberi diskaun 15 peratus.

Cheah Liek Hou, yang memenangi pingat emas perseorangan lelaki SU5 di Paralimpik Tokyo berjaya mempertahan kejuaraannya di Paris, memilih model elektrik sepenuhnya, Chery Omoda E5 dalam warna aqua hijau yang elegan berharga RM146,800.

Cheah Liek Hou sentiasa mengimpikan kereta elektrik, memilih Chery Omoda E5 .

“Saya sentiasa impikan untuk memiliki kereta elektrik. Kini, ramai yang sudah beralih ke teknologi moden ini,” kata Liek Hou pada majlis penyerahan kereta hari ini.

“Saya berterima kasih kepada Chery kerana membantu saya memiliki kereta elektrik pertama saya. Diskaun ini mengurangkan beban kewangan saya. Saya bercadang untuk menggunakan kereta ini setiap hari, termasuk untuk latihan. Semoga ini juga membantu mengurangkan pencemaran.”

Ziyad, pemenang pingat perak dalam acara lontar peluru T20 di Paris, memilih Chery Omoda 5 dengan harga bermula RM99,800.

Ziyad Zolkefli gembira dapat menambah koleksi kereta yang mahu digunakan untuk kegunaan keluarga.

“Saya sangat bersyukur dapat diskaun untuk kereta ini. Buat masa sekarang, saya belum bersedia untuk kereta elektrik, jadi saya pilih model ini,” kata Ziyad.

“Saya suka model ini kerana rekaannya yang sporty dan sesuai dengan gaya saya. Saya akan gunakan kereta ini untuk membawa keluarga bercuti.”

Bonnie Bunyau Gustin, yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut, memilih model Chery Tiggo 8 Pro sebagai pilihannya.

Inisiatif ini bukan sahaja menghargai pencapaian atlet paralimpik, tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk memiliki kenderaan berkualiti tinggi dengan kos yang lebih rendah, mengiktiraf sumbangan mereka kepada sukan negara.