KETUA jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yakin anak buahnya sudah bersedia menghadapi aksi pembukaan Piala ASEAN Hyundai 2026 menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, dengan misi membawa pulang tiga mata pertama.
Menurut Cheng Hoe, persiapan pasukan berjalan lancar sejak tiba di Yangon, malah beliau melihat para pemain berada dalam keadaan terbaik serta tidak sabar untuk memulakan kempen kejohanan.
“Persiapan pasukan sangat baik. Pemain-pemain menjalani latihan dengan baik dan saya pasti mereka tidak sabar untuk perlawanan esok menentang Myanmar,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Beliau bagaimanapun mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah Myanmar yang kini dibimbing jurulatih baharu dan memiliki corak permainan berintensiti tinggi serta berbahaya ketika melakukan serangan balas.
“Kami perlu menghormati Myanmar. Mereka mempunyai semangat berpasukan yang baik dan transisi yang sangat pantas. Kami juga tidak boleh kehilangan bola dengan mudah kerana mereka cukup berbahaya ketika melakukan serangan balas,” katanya.
Cheng Hoe turut menjelaskan beliau tidak membezakan pemain warisan dan pemain tempatan dalam skuad, sebaliknya percaya setiap pemain yang menyarung jersi Harimau Malaya mempunyai tanggungjawab sama untuk mengharumkan nama negara.
“Bagi saya, sesiapa sahaja yang bermain untuk Malaysia adalah pemain Malaysia. Saya gembira mereka berada di sini dan berharap mereka dapat memberikan persembahan terbaik.”

Paulo Josue percaya skuad negara berada di landasan tepat.
Sementara itu, kapten pasukan, Paulo Josue percaya skuad negara berada di landasan tepat hasil persiapan rapi sepanjang kem latihan dan optimis mampu memulakan kempen dengan kemenangan.
“Coach Tan telah membimbing kami dengan sangat baik. Kami tahu ia bukan tugas yang mudah, tetapi kami akan melakukan segala yang termampu untuk membawa pulang kemenangan pertama.”
Cheng Hoe turut mendedahkan barisan kejurulatihan telah menganalisis aksi Myanmar, termasuk perlawanan menentang Vietnam, dan yakin pemain memahami pendekatan taktikal yang perlu diterapkan bagi menghadapi tekanan serta intensiti permainan lawan.
Beliau berharap segala perancangan yang dilakukan dapat diterjemahkan di atas padang ketika Harimau Malaya membuka kempen Kumpulan B dengan memburu tiga mata pertama.