FORMULA gabungan skuad kebangsaan bersama Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dijangka terus menjadi taruhan emas berbasikal negara sehingga Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill bagaimanapun menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan kejayaan kontinjen negara di Sukan SEA Bangkok 2025 sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

“Marilah kita selesaikan Sukan SEA Thailand dulu, tetapi model penggabungan ini nampaknya sangat berjaya seperti ditunjukkan pada edisi 2021 dan 2023,” katanya.

Menurut Amarjit, gabungan ini penting kerana TSG mempunyai pendedahan luas di kejohanan antarabangsa, MPC memiliki kekuatan khusus termasuk pendaki, manakala skuad kebangsaan melengkapkan kombinasi berkenaan.

“Ia ibarat resipi kejayaan, kita ambil kelebihan daripada setiap pasukan, bukan hanya bergantung kepada pelumba kebangsaan semata-mata,” katanya selepas sidang media khas Selasa lalu.

Bagi acara lebuh raya di Bangkok nanti, sembilan pelumba disenaraikan iaitu lima daripada TSG, dua daripada MPC serta dua daripada skuad kebangsaan.

Gabungan tiga entiti itu terbukti berhasil apabila skuad negara berjaya membawa pulang pingat emas pada 2021 di Hanoi menerusi Aiman Zariff dan mempertahankannya di Kemboja 2023 melalui Amirul Fakhruddin.