Kredit Gambar: Luis Robayo/AFP

Cristiano Ronaldo mengetepikan seketika persaingan panjangnya dengan Lionel Messi apabila menyampaikan penghormatan kepada bintang Argentina itu selepas kapten La Albiceleste beraksi buat kali terakhir di pentas antarabangsa.

Messi menutup tirai karier antarabangsa dengan persembahan cemerlang apabila meledak satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan ketika Argentina menewaskan Benin 3-0 di Stadium Monumental, Buenos Aires, semalam.

Aksi berkenaan turut disaksikan lebih 85,000 penyokong yang hadir untuk menjadi saksi kepada satu lagi detik penting dalam perjalanan 21 tahun Messi bersama skuad kebangsaan Argentina.

Selepas perlawanan, Ronaldo menggunakan media sosial untuk memberikan penghargaan kepada pemain berusia 39 tahun itu, mengiktiraf pencapaian luar biasanya bersama Argentina.

“Leo, selepas bertahun-tahun mempertahankan negara anda, anda telah mencipta sejarah yang akan kekal selama-lamanya.

Komen yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo

“Saya amat menghormati segala yang telah anda capai bersama Argentina. Pelukan buat anda,” tulis Ronaldo menerusi ruangan komen pada hantaran Messi.

Messi sebelum itu turut berkongsi perasaannya selepas meninggalkan pentas antarabangsa, mengakui dia sudah mula merindui jersi Argentina walaupun belum sehari berlalu sejak penampilan terakhirnya.

Pemain itu turut menegaskan bahawa keputusan untuk menamatkan perjalanan antarabangsa dibuat selepas pertimbangan yang sewajarnya.

Pertemuan dua legenda bola sepak dunia itu di pentas antarabangsa sememangnya menjadi perhatian sepanjang lebih sedekad, dengan Ronaldo dan Messi sering dibandingkan ketika kedua-duanya mendominasi dunia bola sepak.

Namun kali ini, tumpuan beralih kepada penghormatan Ronaldo terhadap Messi selepas pemain Argentina itu menutup satu bab penting dalam kariernya bersama skuad kebangsaan.

Messi meninggalkan pentas antarabangsa selepas melalui perjalanan penuh warna bersama Argentina, termasuk kejayaan meraih Copa America dan Piala Dunia, selain mengumpul pelbagai rekod individu sepanjang kariernya bersama negara.