Pemain sayap Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17), Lim You, meluahkan rasa kesal selepas skuad muda negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027, meskipun memulakan kempen kelayakan dengan dua kemenangan berturut-turut.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Lim You turut menghargai sokongan penyokong yang terus memberikan semangat kepada pasukan sepanjang kejohanan, selain memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi harapan mereka.

“Terima kasih banyak kepada semua penyokong dan mereka yang menyokong serta memberikan semangat kepada kami sepanjang perjalanan ini. Anda semua amat bermakna buat saya dan saya sangat menghargai setiap seorang daripada anda,” katanya.

Screenshot

Pemain itu turut mengakui kekecewaan selepas gagal menampilkan persembahan terbaik ketika Malaysia berdepan India dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik malam tadi dan saya juga minta maaf sekiranya mengecewakan anda semua,” katanya.

Malaysia mengalami kekalahan 0-4 kepada India dalam perlawanan penentuan itu, sekali gus menyaksikan peluang untuk melangkah ke pentas Asia tidak kesampaian.

Keputusan tersebut nyata mengecewakan selepas skuad kendalian Takayoshi Ishihara membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Syria sebelum membelasah Iraq 4-0.

Bagaimanapun, kekalahan dalam aksi terakhir itu menjejaskan usaha Malaysia untuk meneruskan cabaran ke pusingan akhir kejohanan berkenaan.

Walaupun keputusan di atas padang tidak memihak kepada tuan rumah, kehadiran lebih 2,000 penyokong di stadium ketika menentang India menjadi antara perkembangan positif sepanjang kempen kelayakan, termasuk sokongan daripada keluarga pemain dan peminat pelbagai kaum.

Buat Lim You dan rakan sepasukannya, pengalaman itu diharap menjadi pembakar semangat untuk memperbaiki kelemahan dan kembali lebih kompetitif dalam menghadapi kejohanan akan datang.

Kegagalan kali ini pastinya menjadi pengajaran penting buat Malayan Tigress B-17 dalam usaha membangunkan skuad muda negara dan meningkatkan kemampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.