DATUK Azizulhasni Awang menerima keputusan komisar menyingkirnya di pusingan kedua acara pecut individu, pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, semalam.
Menerusi perkongsian di Facebook, Jijoe memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalannya dalam acara itu.
Namun, mengenali Azizulhasni, dia seorang atlet yang tidak pernah mengenal putus asa dan setiap halangan merintangi pasti akan menjadi pemangkin untuk kebangkitan.
“Bermula dengan pusingan kelayakkan di tempat ke-4 dan pengakhirannya seperti ini bukanlah sesuatu yang saya kehendaki.
“Langkah terhenti disini dan tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada acara Keirin yang akan bermula pada 8 dan 9 (Ogos) nanti.
“Saya memohon maaf kepada semua penyokong-penyokong dan juga rakyat Malaysia kerana tidak dapat lagi meneruskan perjuangan untuk acara pecut,” katanya, dalam satu hantaran di Facebooknya awal pagi tadi.
Terdahulu, dalam acara pecut individu pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman terpaksa akur menamatkan saingan pecut di kedudukan kesembilan selepas perlumbaannya dibatalkan di pusingan kedua menentang Thomas Cornish dari Australia.
“Ketika perlumbaan berbaki separuh pusingan saya melakukan gerakan untuk memotong pesaing. Selepas melepasi selekoh terakhir saya secara tidak sengaja termasuk sedikit ke bawah ke dalam line pihak lawan.
“Berbeza dengan masuk atau mengimpit dengan sengaja, saya yang tersedar ketika hilang kawalan terus cepat-cepat keluar tanpa memberi apa-apa halangan dan membahayakan pihak lawan.
“Ketika perkara ini dibawa kepada pihak komisar, mereka bersetuju dengan hujah dari pihak kami (yang kami tidak sengaja dan tidak bersalah) tetapi mereka masih memilih untuk tidak mengubah keputusan relegation tersebut,”jelasnya.
Dalam masa yang sama Azizulhasni turut melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan komisar walaupun tindakan yang fibiatnya itu tidak disengajakan.
“Antara kekurangan sukan ini adalah, seluruh keputusan perlumbaan adalah termaktub bulat-bulat kepada pihak komisar. Pelumba dan pasukan tiada kuasa untuk mencabar keputusan mereka. Lagi naya apabila yang membuat keputusan ini adalah mereka yang mungkin tidak pernah pun berlumba basikal.
“Mengikut pengalaman lepas, kesilapan seperti itu biasanya diberikan amaran (warning) sahaja kerana ia bersifat tidak sengaja dan tidakpun ia membahayakan pihak lawan.
“Walaubagaimanapun sebagai seorang atlet professional, saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak lawan di peringkat seterusnya,” katanya.