MELEDAK  sehingga empat gol dan mencipta hatrik, Harith Naim mengakui keputusan 7-3 menang ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final pertama Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL23) belum cukup buat pasukannya menarik lafas lega.

Mengakui JDT bukanlah calang-calang pasukan, Harith berkata, pasukannya perlu lebih fokus dalam berhadapan dengan final kedua yang akan diadakan ditempat mereka bagi merealisasikan impian menjulang piala kejuaraan musim ini.

“Saya rasa gembira tapi kita fokus kerana selepas ini, kita akan main di tempat mereka pula. Saya tahu JDT bukan calang-calang. Kita kena lebih fokus lagi untuk kita layak ambil piala.

“Kalau main kat home Pahang ini memang ramai sangat penyokong yang membantu kita jadi lebih bersemangat dan keyakinan tinggi berbanding main away,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Harith juga menyatakan semangat daripada jurulatihnya sendiri, Gerard Casas yang mengarahkan pemain untuk ‘all out’ secara tidak langsung membantu dia mencipta hatrik dan meledak empat gol buat pasukannya.

Tidak mahu merasa lega dengan keputusan yang diperolehi, Harith berazam akan melakukan dengan lebih baik menjelang aksi final kedua menentang JDT nanti.

Pahang Rangers berjaya membawa bekal tujuh gol ke final kedua yang akan diadakan di Johor Bahru pada 14 Ogos kelak.