PERSATUAN Olahraga Selangor (POS) akan menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) demi memartabatkan dan meluaskan lagi bidang sukan olahraga dalam Malaysia.

Perkara ini juga akan menjadi salah satu inisiatif untuk mencungkil lebih ramai bakat dalam industri sukan olahraga sekali gus mengembalikan detik kegemilangan olahraga di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Presiden POS, Nurhayati Karim meluahkan bahawa Selangor sedang mengalami masalah kekurangan pelapis dan disebabkan itu, pihaknya akan merangka beberapa strategi bagi memastikan mereka kembali menjadi pencabar utama.

“Kita sedar pencapaian dilihat kurang baik ketika ini di Kejohanan Olahraga Remaja Kebangsaan 2024 tapi kita juga sudah melakarkan satu perancangan pembangunan yang komprehensif yang melibatkan kesemua kelab melalui kerjasama JPNS, cikgu jasmani di sekolah yang berteraskan olahraga untuk kita mendapatkan balik atlet terbaik di Selangor.

“Apabila kita mempunyai ramai pelapis, kita boleh gilap bakat mereka untuk jadi lebih baik dalam program pembangunan yang sudah dirangka nanti.

“Perkara ini akan ambil masa dan kita yakin dengan kerjasama dari JPNS dan MSN (Majlis Sukan Negeri) Selangor kita akan perkasakan semua bakat yang ada dalam Selangor sebab dulu Selangor dikenali sebagai Harimau olahraga atau balapan,” jelasnya ketika sidang media pada Ahad.

Sementara itu, Nurhayati turut memaklumkan bahawa kejohanan yang dianjurkan oleh POS telah berjaya meraih sambutan yang luar biasa apabila pihaknya dapat menarik lebih 1,000 peserta dan kelab dari seluruh Malaysia untuk menyertai kejohanan yang diadakan di Stadium Mini Bukit Jalil pada 3 hingga 5 Mei 2024.

“Sejarah dunia olahraga Malaysia, mempunyai penyertaan yang luar biasa sebanyak 1650 penyertaan daripada seluruh Malaysia bersama-sama berkampung di sini selama tiga hari,” ujarnya.