PDRM FC berjaya mengotakan janjinya untuk mengutip mata penuh Liga Super selepas mencatat kemenangan ke atas Selangor FC di Stadium MBPJ, Sabtu malam.

Penonton disajikan dengan aksi mendebarkan daripada pasukan The Red Giants yang cuba untuk menembusi gawang gol The Cops seawal minit ke-dua namun tidak berjaya.

 

PDRM FC juga beraksi dengan cemerlang di bahagian pertahanan serta penjaga golnya, Mohamad Ramdhan yang berjaya menggagalkan kesemua asakan pasukan lawan untuk menjaringkan gol dan keputusan kekal terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama

Bermula separuh masa kedua, aksi mengejutkan berlaku apabila The Cops yang awalnya dilihat tidak mengawal permainan berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-61 oleh Suzuki Castanheira.

Walaupun Selangor FC mempamerkan aksi menyerang berkali-kali namun benteng pertahanan PDRM FC yang kukuh berjaya menghalang gawang pasukan mereka daripada ditembusi bola.

PDRM FC berjaya menewaskan Selangor FC dengan mengekalkan keputusan 1-0 hingga akhir perlawanan.