Team MT Helmets – MSi’s Hakim Danish celebrates his third place on the podium with the trophy after the Italian Moto3 Grand Prix at Mugello circuit, in Mugello, near Florence, on May 31, 2026. (Photo by Andreas SOLARO / AFP)
PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta detik bersejarah apabila menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kembali berada di podium saingan Moto3 selepas menamatkan Grand Prix (GP) Itali di tempat ketiga.
Aksi cemerlang di Litar Mugello itu menyaksikan pelumba berusia 18 tahun berkenaan menghadiahkan keputusan podium pertama buat Malaysia dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sejak 2016.
Kali terakhir Jalur Gemilang berkibar di podium Moto3 adalah menerusi Khairul Idham Pawi yang mencuri perhatian dunia apabila muncul juara GP Argentina pada musim 2016.
Kini, Hakim Danish meneruskan legasi tersebut dengan mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek paling menjanjikan negara.
Perlumbaan di Mugello dimenangi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, manakala rakan senegaranya, Alvaro Carpe, menamatkan saingan di tempat kedua.
Podium pertama karier Hakim Danish dalam saingan Moto3 itu turut menghadiahkannya 16 mata berharga dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini.
Hasil keputusan tersebut, pelumba Malaysia itu kini kekal di kedudukan ke-11 carta keseluruhan dengan kutipan 43 mata.
Beliau kini semakin hampir untuk menembusi kelompok 10 terbaik apabila hanya dipisahkan empat mata daripada pelumba di tangga ke-10, David Munoz.
Sementara itu, Maximo Quiles terus menguasai kedudukan teratas kejuaraan dunia Moto3 dengan mengumpul 145 mata selepas beberapa siri perlumbaan musim ini.
Kejayaan di Mugello pastinya menjadi suntikan moral terbaik buat Hakim Danish yang semakin menunjukkan peningkatan konsisten dalam kempen pertamanya di pentas dunia, sekali gus menghidupkan kembali harapan Malaysia untuk melahirkan pencabar podium tetap dalam saingan Moto3.