Arsenal’s Spanish manager Mikel Arteta walks past the trophy after losing the UEFA Champions League final football match against Paris Saint-Germain (PSG) at the Puskas Arena in Budapest on May 30, 2026.
(Photo by FRANCK FIFE / AFP)
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menggesa pasukan itu melakukan perubahan besar dan membuat keputusan tepat dalam tempoh terdekat selepas impian menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama terus tertangguh susulan kekalahan kepada Paris Saint-Germain (PSG) di final, awal pagi tadi.
Pengendali The Gunners itu mengakui kekalahan tersebut amat menyakitkan, namun percaya pasukannya memiliki asas yang kukuh untuk kembali mencabar kejuaraan sekiranya langkah yang betul diambil menjelang musim baharu.
Arsenal terpaksa akur dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dalam aksi yang berlangsung di Budapest.
Pasukan London itu bermula cemerlang apabila Kai Havertz meletakkan Arsenal di hadapan seawal minit keenam, namun PSG bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ousmane Dembele sebelum mengesahkan kemenangan dalam penentuan penalti.
Menurut Arteta, Arsenal kini perlu menilai semula segala aspek bagi memastikan mereka mampu bersaing secara konsisten di pentas tertinggi Eropah dan domestik.
“Jika kami mahu pergi lebih jauh dan mencapai tahap seterusnya, kami perlu menunjukkan cita-cita yang lebih besar.
“Kami mempunyai kemampuan untuk melakukannya, tetapi ia memerlukan tindakan yang pantas, berani dan juga bijak,” katanya.
Selepas dikejutkan dengan gol awal Arsenal, PSG kembali menguasai permainan dan mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan kawalan bola yang lebih baik serta ancaman berterusan ke kubu lawan.
Arsenal cuba meningkatkan tekanan selepas jaringan penyamaan lawan, namun gagal memanfaatkan peluang yang terhasil untuk kembali mendahului.
Walaupun gandingan pertahanan Gabriel Magalhaes dan William Saliba berjaya mengekang beberapa serangan berbahaya PSG, nasib tidak menyebelahi Arsenal apabila Gabriel gagal menyempurnakan sepakan penalti penting yang menjadi penentu kemenangan.
Arteta turut menyuarakan rasa kecewa apabila Arsenal tidak diberikan sepakan penalti selepas Noni Madueke dijatuhkan dalam kotak penalti ketika masa tambahan, namun enggan menjadikan keputusan pengadil sebagai alasan utama kekalahan.
“Kami perlu melihat kepada diri sendiri dan mencari ruang untuk menjadi lebih baik. Perbezaan kecil inilah yang menentukan sama ada anda menang atau kalah di pentas seperti ini,” katanya.
Kapten Arsenal, Martin Odegaard turut mengakui perlawanan tersebut ditentukan oleh detik-detik kecil yang gagal dimanfaatkan pasukannya.
Menurut pemain antarabangsa Norway itu, Arsenal perlu menerima kekecewaan tersebut dan menggunakan pengalaman berharga itu sebagai motivasi untuk kembali lebih kuat pada masa hadapan.
Kekalahan itu menyaksikan Arsenal sekali lagi terlepas peluang menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, namun Arteta percaya pasukannya masih berada di landasan tepat untuk terus berkembang sebagai pencabar utama di England dan Eropah.