MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa bantuan dan peruntukan kerajaan kepada skuad bola sepak kebangsaan tidak akan dihentikan meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdepan isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Hannah, tumpuan utama kerajaan adalah memastikan pemain tempatan yang masih berjuang di bawah panji Harimau Malaya terus mendapat sokongan sewajarnya, terutama ketika pasukan negara menghadapi tempoh yang mencabar di peringkat antarabangsa.

“Keputusan penggantungan sekarang hanya melibatkan tujuh pemain tersebut, tetapi ramai yang lupa bahawa pasukan Harimau Malaya masih mempunyai ramai pemain tempatan seperti Faisal Halim, Arif Aiman dan lain-lain. Takkan kita tak nak bantu mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa peranan kerajaan hanyalah sebagai penyokong, manakala tanggungjawab utama mencari sumber kewangan tambahan tetap digalas oleh FAM.

“Dana yang diberikan oleh kerajaan untuk pasukan sebenarnya bukan besar. Kalau kita lihat ekosistem sukan dan perbelanjaan yang diperlukan untuk bola sepak, memang bajet lebih besar. Dan FAM kena pergi cari dana itu sendirilah. Jadi, mereka tidak dibiayai 100% oleh kerajaan,” jelasnya.

Hannah menambah bahawa sokongan terhadap bola sepak kebangsaan bukan sekadar bergantung kepada isu pemain warisan, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem pembangunan sukan termasuk pemain muda yang sedang mencipta nama di peringkat domestik.

“Selagi kita ada pasukan dan pemain tempatan yang memerlukan bantuan, selagi itu kerajaan akan terus menyokong mereka,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia 2025 di Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam 2025 di Arab Saudi, hari ini.

Temasya Sukan Remaja Asia 2025 akan berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober dengan penyertaan 120 atlet negara dalam 17 acara sukan, manakala Sukan Perpaduan Islam 2025 dijadualkan pada 7 hingga 21 November dengan 17 atlet bakal bersaing dalam lima acara.