TINDAKAN pengurusan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC merehatkan ketua jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan, sejak 6 Oktober lalu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.
Tempat beliau bakal diisi oleh bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang diumumkan secara rasmi dalam media sosial pasukan.
Keputusan itu nyata mengejutkan ramai pihak, memandangkan TRW ketika ini berada di tangga ketujuh Liga Super dengan kutipan lapan mata, hasil daripada dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.
Pencapaian tersebut dianggap agak stabil memandangkan pasukan itu baru dibentuk semula dan beroperasi dengan bajet yang terhad.
Persoalannya, apakah rasionalnya untuk menggantikan seorang jurulatih berpengalaman seperti Elavarasan yang telah membuktikan kemampuannya mengurus pasukan berprofil sederhana?
Elavarasan sebelum ini menerima cabaran besar apabila mengambil alih TRW yang menduduki tangga tercorot musim lalu dengan hanya tujuh mata selepas 24 perlawanan. Namun, dalam tempoh singkat, beliau berjaya menjadikan TRW pasukan yang lebih tersusun dan kompetitif.
Kekuatan utama Elavarasan ialah pendekatannya yang realistik dan sistematik dalam membina pasukan.
Beliau dikenali sebagai jurulatih yang mampu meningkatkan moral dan disiplin pemain walaupun berdepan kekangan kewangan.
Kejayaannya bersama beberapa pasukan lain seperti FELDA United, PKNS dan Sarawak United membuktikan beliau bukan calang-calang jurulatih di pentas domestik.
Dengan situasi kewangan TRW yang dilaporkan ketat, tindakan mengetepikan Elavarasan menimbulkan tanda tanya besar. Adakah pengurusan bersedia menanggung kos tambahan bagi membayar gaji jurulatih baharu serta pampasan kepada Elavarasan sekiranya kontraknya ditamatkan lebih awal?
Dalam keadaan ekonomi kelab yang tidak kukuh, langkah ini tampak berisiko dan mungkin menjejaskan kestabilan pasukan dalam jangka panjang.
Seperti kebanyakan kelab lain dalam saingan Liga Super, TRW nampaknya memilih pendekatan “merehatkan jurulatih” sebagai jalan tengah untuk mengelak konfrontasi terbuka. Namun, pendekatan ini sering kali menambah beban kewangan kerana kelab tetap perlu membayar gaji dua pihak — jurulatih lama dan baharu — sementara prestasi pasukan belum tentu meningkat.
Dalam usaha mendapatkan penjelasan lanjut, Flash Sukan cuba menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif TRW FC, Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah, mengenai kedudukan sebenar Elavarasan.
Namun, beliau hanya memberi respon ringkas: “Maaf, tidak boleh nak sahkan. Ini adalah hal dalaman pasukan.” Jawapan itu menambah lagi spekulasi mengenai masa depan jurulatih berusia 60-an itu bersama TRW.
Apapun, keputusan ini seharusnya dinilai semula oleh pengurusan TRW. Menggantikan seorang jurulatih berpengalaman mungkin bukan langkah paling bijak, lebih-lebih lagi untuk pasukan yang masih mencari kestabilan dan kekuatan sebenar.
Dalam konteks semasa, kebijaksanaan pengurusan TRW kini sedang diuji — antara reputasi, kewangan dan prestasi di atas padang.