SELEPAS penyingkiran berjemaah beregu lelaki negara di pusingan pertama Terbuka Denmark semalam, pasangan profesional Nur Azryn Ayub-Tan Wee Kiong mencipta kejutan terbesar apabila menempah slot ke suku akhir kejohanan bertaraf Super750 itu.

Pasangan nombor 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, menjadi mangsa beregu ke-24 dunia itu yang mencapai kemenangan dalam tempoh hanya 36 minit, 21-19, 21-14.

Pertemuan kali pertama antara kedua-dua pasangan itu ternyata memberi kelebihan buat pasangan negara menjadi wakil tunggal beregu lelaki di suku akhir.

Menerusi kemenangan itu, Azryn-Wee Kiong menanti pemenang antara wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi (Indonesia) esok.

Malah pasangan itu juga berpeluang mencatat prestasi terbaik tahun ino selepas hanya mara sejauh suku akhir di Terbuka Jepun dan Macau tahun ini.

Turut mara, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tiada masalah mengatasi wakil Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-13, 21-18.

Mereka menanti pemenang perlawanan antara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying (China).