PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan badan induk persatuan bola sepak itu telah melaksanakan inisiatif dengan memberi bajet tambahan terhadap pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.

Jelasnya, tumpuan FAM ketika ini adalah kepada kelab-kelab di dalam liga wanita untuk membantu mereka seiring dengan perkembangan skuad bola sepak di peringkat negeri.

“FAM memang telah membantu dan telah memberi bajet tambahan kepada bola sepak wanita.

“Saya rasa bajet lebih tertumpu kepada kelab dan di liga yang telah kita berikan bajet tambahan untuk pasukan masing-masing,” jelasnya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional di Stadium UiTM Shah Alam, pada Sabtu.

 

Biarpun bola sepak wanita di Malaysia masih jauh jika dibandingkan di peringkat global, namun Hamidin menyedari terdapat peningkatan yang ketara dalam bola sepak wanita dengan adanya liga seperti ini.

“Selalunya dalam mesyuarat teknikal atau jawatankuasa bola sepak wanita, untuk perkembangan dari peringkat belia ada peningkatan.

“Kalau kita tengok untuk tahun pertama ini, tiada banyak kelainan. Kalau kita tengok bola sepak wanita ini tidak begitu popular di Malaysia tetapi dari segi atasan memang kita sedang mempromosikan bola sepak wanita,” tambahnya.

Ditambah pula dengan kemasukan jurulatih berpengalaman dari Jordan, Soleen Al-Zoubi, dilihat ianya memberi impak besar terhadap mutu serta peningkatan bola sepak wanita negara.

 

Penganjuran sulung Liga Wanita Nasional 2023 jelas membuka lembaran baharu dengan kombinasi beberapa pasukan di peringkat kelab, universiti dan negeri yang dilihat mampu menjadi taruhan kepada pemilihan skuad kategori junior dan senior.

“Dengan kemasukan Soleen juga, kita ingin memperkemaskan dengan adanya perlawanan kompetitif, ia akan membantu perkembangan bola sepak wanita.

“Penganjuran kali ini adalah terbuka kepada kelab, universiti dan di peringkat negeri. Secara tidak langsung, ini adalah persiapan untuk pemain di setiap peringkat iaitu peringkat bawah 23 tahun dan pada tahap senior,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hamidin tidak menolak bahawa segala-galanya perlu bermula dari peringkat akar umbi atau di peringkat sekolah terlebih dahulu.

Dengan sokongan padu daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau yakin bola sepak wanita negara mampu menjadi sebuah pasukan yang disegani pada masa hadapan.

“Sepatutnya bola sepak wanita ini perlu bermula dari sekolah. Kita perlu tengok kepada sambutan dan penerimaan. Itu adalah salah satu sasaran kepada pihak sekolah dan sokongan dari Kementerian Pelajaran Malaysia,” katanya.