PEMAIN tengah skuad Harimau Malaya, Stuart Wilkin mendedahkan dua perlawanan diharungi dalam kempen Piala Asia 2023 memberi banyak pengajaran dan pembelajaran buat pasukan Malaysia.

Mengakui peluang negara melangkah ke Pusingan 16 tertutup rapat, Wilkin tetap memandang serius kepentingan aksi terakhir peringkat Kumpulan E.

“Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting sebelum pulang ke Malaysia menentang Korea Selatan.

“Anda tahu ia akan menjadi ujian besar menentang pasukan berkualiti tinggi seperti Korea Selatan. Saya fikir dari perlawanan pertama hingga perlawanan kedua kami banyak belajar dan menunjukkan prestasi yang boleh dipelajari dan menambah baik beberapa perkara.

“Saya berharap kita boleh menggunakan kedua-dua perlawanan ini dan meletakkan prestasi yang lebih baik pada perlawanan terakhir dan mencubanya dengan baik,” kata pemain kelahiran Woking, United Kingdom itu.

Ketika berdepan Bahrain pasukan di ranking 86 dunia pada Sabtu, Wilkin mendapat kepercayaan Kim Pan-gon untuk beraksi penuh 90 minit permainan dan berjaya mengekang kemaraan pemain lawan sehinggalah bolos di masa kecederaan

“Perlawanan malam itu mengecewakan dan dah tentu hati kami remuk kerana pada penghujungnya dibolosi. Tetapi saya rasa kami belajar sesuatu daripada perlawanan terakhir.

“Kami mempamerkan persembahan yang lebih mantap dalam bertahan. Saya rasa anda dapat melihat pemain memberikan segala-galanya dan menentang pasukan peringkat tinggi ini, kami perlu kekal fokus sepenuhnya selama 90 minit tambahan.

“Malang sekali, kita kalah dengan cara itu,” ujar Wilkin.

Malaysia yang tewas kesemua dua perlawanan awal akan menutup kempen bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis.

Kali terakhir pemain Malaysia dapat menjaring gol pada kejohanan ini adalah menerusi Indra Putra Mahayuddin, ketika tewas 1-5 di tangan China pada edisi 2007 di Kuala Lumpur.