PENOLONG pengadil dari Malaysia, Mohamad Zairul Khalil Tan bakal beraksi buat kali ketiga di atas padang apabila beliau terpilih sebagai pegawai perlawanan untuk aksi separuh akhir Piala Asia 2023, Iran menentang Qatar di Stadium Al Thumama, Doha, malam ini.

Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Zairul akan bertindak sebagai Penolong Pengadil 2 bagi membantu Pengadil, Ahmad Alali dari Kuwait dan rakan senegaranya, Abdulhadi Alanezi selaku Penolong Pengadil 1.

“Terdahulu, Zairul bersama trio pengadil negara yang terdiri daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin (pengadil) dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid (penolong pengadil) telah mengendalikan dua perlawanan secara bersama iaitu perlawanan Kumpulan D, Iraq lwn Vietnam pada 24 Januari lalu dan perlawanan Pusingan 16 Terbaik, Uzbekistan lwn Thailand pada 30 Januari lalu,” kata FAM.

Ketiga-tiga Pengadil Fifa tersebut merupakan di antara 35 pengadil dan 39 penolong pengadil yang terpilih untuk mengadili perlawanan di sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari lalu hingga 10 Februari ini.

Trio pengadil dari Malaysia itu sedang dinilai prestasi mereka untuk mendapatkan tempat dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dipilih untuk beberapa siri kursus dan ujian iaitu ‘Fifa World Cup Candidate’ sebagai syarat pemilihan secara merit bagi Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.