PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan segera buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak RM5 juta bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak negara.

Beliau berkata, ia berikutan aksi pasukan Harimau Malaya yang cemerlang menentang skuad Korea Selatan pada malam Khamis walaupun telah tewas dua kali berturut-turut dalam perlawanan sebelumnya.

Anwar yang menunjukkan rasa kagum dengan persembahan skuad kendalian Kim Pan-gon di pentas Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar itu sekali gus bersetuju untuk meluluskan dana kepada pihak FAM atas pertimbangan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Pertarungan hebat dan menakjubkan telah ditunjukan oleh Harimau Malaya pada malam semalam dalam aksi menentang pasukan Korea Selatan. Mereka mempamerkan semangat yang masih tidak lusuh walaupun telah kalah dalam dua perlawanan sebelum itu.

“Jadi, saya ucapkan tahniah dan semoga terus mara kepada mereka.

“Dalam masa yang sama, atas pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan juga telah bersetuju meluluskan dana tambahan sebanyak RM5 juta kepada pihak FAM supaya dapat menguruskan pasukan bola sepak lebih baik lagi.

“Penyaluran dana ini akan diberikan segera,” ujarnya.

Sementara itu, turut hadir sama adalah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menambah bahawa geran RM5 juta secara ‘one-off’ akan dihulurkan terus daripada Kementerian Kewangan kepada pihak FAM untuk mereka mempergiat usaha menambah baik pasukan negara.

“Kita sedar bahawa pasukan kebangsaan amat memerlukan dana bagi melakukan latihan atau kejohanan untuk setarafkan kedudukan mereka dengan negara-negara yang lebih kuat.

“Oleh itu, kita telah memberi sokongan kepada mereka dengan pemberian dana RM5 juta ini namun ianya tidak boleh digunakan untuk kos operasi FAM seperti pembayaran gaji staf atau utiliti bil.

“Saya sudah buat perbandingan juga berbanding dengan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan, Malaysia merupakan negara yang mengeluarkan dana paling rendah untuk bola sepak.

“Jadi, saya rasa jika kita tidak membantu mereka dari segi kewangan, ia akan menjadi lebih sukar buat mereka,” kata Hannah.

Harimau Malaya telah membanggakan rakyat Malaysia apabila berjaya memberi saingan kepada pasukan Korea Selatan pada aksi akhir Piala Asia Qatar 2023 sekali gus memberi keputusan seri 3-3 pada malam Khamis.