KEJAYAAN Tammy Tan merangkul pingat emas sulung wushu di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China semalam, adalah satu usaha terancang dilakukan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM).
Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata, selepas melihat banyak program terhenti gara-gara pandemik Covid-19, WFM bersama barisan jurulatih merancang sesuatu untuk dicapai di Universiade.
Katanya, cabaran di Chengdu bukan callang-calang kerana disertai China, Macau, Hong Kong dan lain-lain yang sememangnya dikenali sangat kuat dalam wushu.
“Sebab itu kita menghantar hanya seorang atlet podium dan tiga pelapis ke Universiade, kita menghantar peserta mengikut strategi yang kita atur dan mahu atlet wushu kita mengharumkan nama negara dan menamatkan kemarau emas di temasya itu selepas 38 tahun penganjuran,” ujarnya.
Semalam, Tammy menamatkan kemarau pingat emas skuad wushu di Universiade sejak kali pertama dianjurkan pada Universiade Kobe, Jepun 1985.
Tammy memenangi pingat emas acara Jianshu wanita selepas melakukan catatan 9.613 mata, mengatasi Weng Ian Wong dari Macarau (9,593) dan Hui Yu Lydia Sham dari Hong Kong (9.583).
Kejayaan Tammy itu mengatasi sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menetapkan sasaran tiga pingat di temasya itu.
Sebelum ini kontinjen negara meraih tiga gangsa menerusi wushu iaitu Calvin Lee (Nangun lelaki), Mandy Chen (Taijiquan wanita) dan Ang Qi Yue (Daoshu lelaki).
Justeru, beliau berkata, kem wushu berada di landasan tepat sebelum ke Sukan Asia Hangzhou 2022, yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 23 September hingga 8 Oktober depan.
Katanya, tahap saingan Sukan Asia lebih tinggi dengan 40 negara mengambil bahagian.
“Dalam tempoh setahun ini, saya yakin kita boleh raih pingat tapi warna pingat tak dapat saya janjikan.
“Kita lihat dlaam tempoh sebulan lagi, namun paling penting ketika ini, saya mahu atlet kita mengelak daripada mengalami kecederaan.
“Wushu adalah sejenis sukan berprestasi tinggi, melibatkan banyak aksi berbahaya yang memerlukan kemahiran dan teknikal,” katanya.