SELEPAS Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengekalkan hukuman ke atas tujuh pemain warisan, penganalisis sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli mengingatkan semua pihak agar menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai pengajaran besar buat bola sepak negara.
Menurut beliau, keputusan badan induk dunia itu jelas menunjukkan bahawa isu pemalsuan dokumen ini bukan perkara remeh, dan sudah tiba masanya untuk semua pihak berhenti menafikan kesilapan yang telah berlaku.
“Kalau FIFA dah buat keputusan, maksudnya memang ada kesalahan yang terbukti. Tak perlu lagi kita berdalih dengan alasan teknikal atau menuding jari ke sana-sini. Sudah sampai waktunya kita mengaku dan belajar daripada kesilapan,” katanya.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap isu pemalsuan dokumen ini bukan perkara remeh, dan sudah tiba masanya untuk semua pihak berhenti menafikan kesilapan yang telah berlaku.
Datuk Pekan menegaskan, apa yang lebih penting kini adalah keinsafan dan langkah pembaikan agar perkara sebegini tidak berulang lagi.
“ Kita sepatutnya perlu terima kesalahan dengan penuh keinsafan dan teruskan dengan perancangan yang lebih baik,” tambahnya.
Mengulas mengenai FAM akan membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), beliau berpandangan ia mungkin tidak membawa hasil yang diharapkan.
“Secara peribadi, saya rasa tak perlu. Ia hanya membuang masa dan wang. Bila dah ada bukti pemalsuan, sukar untuk kita menang di peringkat itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap menghormati hak FAM untuk meneruskan tindakan undang-undang sekiranya dirasakan wajar, namun mengingatkan agar fokus utama kekal kepada pemulihan imej dan struktur bola sepak negara.
TAMAT