PENGENDALI Indonesia, Shin Tae-yong berharap para penyokong Indonesia baik di Indonesia ataupun di Malaysia beramai-ramai memenuhi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Tae-yong juga berkata pasukannya kini berada dalam keadaan yang baik dan dia mungkin menggunakan kesempatan perlawanan ini untuk melakukan penggiliran pemain ekoran jadual yang padat.

Dia juga tidak mahu dibandingkan dengan jurulatih Korea Selatan lain yang menjadi jurulatih negara Asia Tenggara yang lain kerana baginya semua jurulatih perlu bekerja keras dalam menjalankan tugas.

Shin Tae-yong dan Rachmat Irianto pada sidang media.

“Ketika ini pasukan kami berada dalam keadaan yang baik dan dengan penerbangan sewa khas yang disediakan Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI), kami dapat tiba dengan selesa dan persiapan pasukan juga sangat baik.

“Saya mungkin akan melakukan penggiliran pemain kerana lawan yang kami hadapi boleh dianggap tidak kuat selain jadual yang padat dan kita juga perlu memberi masa kepada penyerang yang masih gagal menjaringkan gol.

“Setiap pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik dan kehadiran penyokong yang ramai boleh memberikan semangat tambahan buat kami dan saya berterima kasih kepada penyokong yang bakal hadir memberikan sokongan kepada kami.

“Semua jurulatih sama sahaja dan kami perlu bekerja secara maksimum dan berharap kesemua jurulatih Korea Selatan di rantau ini terus bekerja keras membawa pasukan masing-masing,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kenyataan Tae-yong turut disokong pemain pertahanan, Rachmat Irianto yang mahukan penyokong hadir beramai-ramai ke stadium kerana para pemain akan berasa dihargai dan lebih bersemangat.

“Perlawanan esok sangat penting dan kami tidak akan memandang rendah pasukan Brunei kerana mereka lebih bermotivasi untuk mengalahkan kami dan kami akan lakukan yang terbaik mengikut apa yang telah diarahkan oleh jurulatih.

“Para pemain pasti akan lebih bersemangat jika stadium dipenuhi para penyokong Garuda dan kami akan berikan aksi terbaik untuk menghiburkan para penyokong dan tunjukkan kepada masyarakat Indonesia keupayaan kami,” jelasnya.

Indonesia bakal memburu kemenangan kedua berturut-turut selepas berjaya menewaskan Kemboja 2-1 dalam perlawanan Kumpulan A manakala Brunei cuba untuk mengelak kekalahan ketiga berturut-turut selepas dibelasah Thailand dan Filipina.