KETUA Jurulatih Brunei Darussalam, Mario Rivera nyata berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas dalam dua perlawanan sebelum ini dan akan turun untuk mencari kemenangan apabila berhadapan Indonesia pada Isnin.
Baginya banyak perbezaan kualiti yang ada pada pasukannya jika dibandingkan dengan Indonesia namun itu bukan alasan buat pasukannya untuk tidak mempamerkan aksi yang baik.
Mario juga tidak mahu meletakkan fokusnya kepada pemain Indonesia secara individu sebaliknya melihat mereka sebagai satu pasukan dan fokus pada keseluruhan permainan secara berpasukan.

“Pasti ianya satu lagi perlawanan yang sukar buat kami kerana banyak perbezaan dalam kualiti antara pemain Brunei dan Indonesia. Kami akan cuba bagi yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang baik dan jika tidak menang sekalipun kami akan bermain untuk menang.
“Kami bertahan baik ketika bertemu Thailand dan ketika menentang Filipina kami berjaya memegang bola lebih baik. Ini adalah sasaran kami untuk mendapatkan keselesaan ketika memegang bola dan kami akan perbaiki bahagian serangan kerana masih banyak ruang untuk diperbaiki.
“Semua pemain Indonesia sangat bagus tahapnya tetapi kita tidak fokus pada satu pemain sahaja tetapi kepada kesuluruhan perlawanan sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu kapten pasukan, Hendra Azam pula tidak mahu skuadnya dibolosi lebih banyak gol apabila sudah melepaskan 10 gol dari dua perlawanan dan mahu bertahan dengan lebih kompak ketika bertemu Indonesia.
Dia juga berkata bahawa satu gol yang dapat dijaringkan Brunei di Manila menjadikan mereka lebih bersemangat dengan pemain kini dilihat lebih berani dan yakin apabila memegang bola.
Brunei akan beraksi dalam perlawanan ketiga berturut-turut dalam tempoh enam hari dan pastinya mahukan keputusan positif dapat dicatatkan apabila berhadapan Sang Garuda.