PASUKAN Selangor FC mengesahkan tempat ke final ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup selepas menewaskan Nam Dinh FC 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thiên Trường, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Kim Pan-gon mara dengan agregat 4-1 dalam penampilan sulung mereka di pentas Shopee Cup.
Penyerang import dari Brazil, Chrigor Moraes sekali lagi muncul wira Red Giants apabila meledak dua gol untuk memastikan impian Selangor ke final menjadi kenyataan.
Selepas menjaringkan dua gol pada aksi pertama minggu lalu, Chrigor terus membuktikan sentuhan berbisa apabila membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-40.
Nam Dinh cuba bangkit pada babak kedua di hadapan penyokong sendiri, namun benteng Selangor kekal ampuh mengekang asakan tuan rumah.
Chrigor kemudian menutup terus peluang kebangkitan Nam Dinh apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-90 untuk mengesahkan kemenangan bergaya Selangor.
Selepas perlawanan, Chrigor menyifatkan kejayaan itu hasil kerja keras seluruh pasukan sepanjang musim ini.
“Saya sangat gembira dengan dua gol ini tetapi yang lebih penting kami berada di final. Kami bekerja sangat keras dalam latihan setiap minggu dan kami layak berada di final,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai malam istimewa buat Selangor sambil berharap penyokong memenuhi Stadium MBPJ untuk aksi final pertama nanti.
Final ACC Shopee Cup kini menjadi peluang terakhir buat Selangor memburu trofi musim ini selepas perjalanan mereka dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia terhenti di peringkat separuh akhir.
Selangor kini bakal berdepan juara bertahan, Buriram United dalam final dua perlawanan yang dijadual berlangsung pada 20 dan 27 Mei ini.