KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon memuji komitmen dan semangat juang dipamerkan anak buahnya selepas berjaya melangkah ke final ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup.
Pengendali dari Korea Selatan itu menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Nam Dinh FC pada aksi separuh akhir kedua sebagai hasil disiplin pemain yang berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan baik.
Menurut Kim, Selangor berdepan tekanan tinggi pada awal permainan apabila Nam Dinh tampil agresif di hadapan penyokong sendiri.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan cara pemainnya bertahan sebelum berjaya mengawal semula rentak perlawanan.
“Ia adalah persembahan yang baik daripada pemain kami. Kami bermain dengan baik dan mereka mengikut perancangan kami.
“Nam Dinh bermula sangat kuat pada awal permainan tetapi kami cukup kuat untuk bertahan dan mengatasi situasi itu,” katanya.
Kim turut menyifatkan jaringan pertama Selangor sebagai detik penting yang mengubah momentum perlawanan memihak kepada skuad Red Giants.
Beliau dalam masa sama menzahirkan rasa hormat terhadap semua pemain Selangor yang menurutnya menunjukkan tahap profesionalisme tinggi sepanjang kempen Shopee Cup musim ini.
“Saya sangat menghormati semua pemain Selangor FC. Mereka menunjukkan komitmen dan keazaman yang sangat kuat.
“Sebagai pemain profesional, mereka membuat kami sangat bangga,” katanya lagi.
Kim berharap kejayaan tersebut turut membanggakan penyokong Gergasi Merah yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan sama ada di stadium mahupun dari Malaysia.