EDIN DZEKO menjadi inspirasi buar Inter Milan ketika menewaskan AC Milan, 3-0 pada aksi final Piala Super Itali, awal pagi tadi.

Impak Dzeko dalam pertembungan di antara juara Piala Itali dan juara Serie A itu berlangsung di Stadium Antarabangsa King Fahd di Riyadh, Saudi Arabia begitu ketara menerusi hantaran dan jaringan gol.

Inter berada didepan seawal minit ke-10 mènerusi Federico Dimarco minit ke-10 hasil peranan Dzeko yang bergandingan dengan Nicolo Barella yang membuka ruang buat Dimarco meledak gol pertama.

Dzeko kemudiannya menggandakan jaringan menerusi rembatan sebelas minit kemudian sebelum Lautaro Martinez memperdayakan pertahanan lawan untuk gol ketiga pasukannya minit ke-77.

Tegas Dzeko, prestasi pasukan ketika ini amat baik dari awal perlawalan sehinggalah tamat.

“Prestasi kami sangat baik, rakan sepasukan cemerlang sejak minit pertama sehingga wisel penamat,

“Kami menang Piala Super musim lalu, jadi kami tahu betapa berharga menjuarainya sekali lagi. Saya sangat gembira bawa pulang satu lagi trofi dan saya harap dapat lebih banyak pada masa depan,” katanya.

Bagi jurulatih AC Milan Stefano Pioli pula, dia ternyata kecewa dengan mutu permainan anak buahnya.

“Kekalahan ini mengecewakan kami kerana ia trofi yang kami mahu menangi. Tetapi apa pun baki musim masih menunggu kami. Kami perlu bangkit dan beraksi pada tahap sebenar,” ujarnya.