PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menganggap pengiktirafan sebagai Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2025 mampu menjadi pembakar semangat menjelang Malaysia Masters minggu depan.
Tang Jie-Ee Wei menerima anugerah itu hasil kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris tahun lalu selepas menewaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final.
“Kami sangat bersyukur dapat menerima anugerah ini dan saya mahu berterima kasih kepada media Malaysia yang sentiasa bersama kami sama ada di Akademi Badminton Malaysia (ABM) atau ketika kejohanan.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerima anugerah Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2025, semalam.
“Saya rasa ini salah satu motivasi untuk kami terus melangkah dan berharap dapat memberikan keputusan lebih baik selepas ini,” kata Ee Wei.
Menurutnya, fokus mereka kini terarah kepada Masters Malaysia dengan harapan dapat menghadiahkan keputusan terbaik di laman sendiri, manakala Tang Jie mengakui dia melalui tempoh mencabar selepas kembali mengalami kecederaan.
“Walaupun kami tidak menyertai kejohanan Piala Thomas atau Piala Uber, kami tetap fokus kepada latihan untuk mencari prestasi terbaik musim ini. Sekarang saya rasa keadaan semakin baik dan saya boleh beraksi dengan baik di gelanggang,” kata Tang Jie.