FOTO : KDA FC

PERTEMBUNGAN Liga Super yang amat dinantikan peminat bola sepak tempatan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menarik puluhan ribu penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Bagaikan tiada tandingan, JDT cukup perkasa menumbangkan satu persatu lawan yang ditemui sejak tujuh perlawanan dan uniknya, rekod kemenangan 100 peratus berjaya diraih kelab dari selatan tanah air itu.

Ketika ramai menjangkakan Selangor atau Sabah menyekat penguasaan ‘menggila’ JDT namun ianya sekadar bermimpi di siang hari apabila turut kecundang dengan jumlah jaringan yang besar.

Kini, satu pasukan yang dikatakan sedia memberikan tentangan habis-habisan tidak lain dan tidak bukan adalah Kedah. Berdasarkan persembahan semasa, anak buah Nafuzi Zain itu sudah mula menemui gaya permainan yang diinginkannya.

Kedudukan terkini tangga kedua membuktikan Sang Kenari juga miliki barisan berkaliber bagi menyaingi JDT sekali gus mencipta kejutan menewaskan tuan rumah di halaman sendiri.

Trio serangan KDA FC antara yang perlu diberi perhatian adalah Willian Lira, Manuel Hidalgo serta Al-Hafiz Harun. Pemain ini sentiasa bergerak pantas dan menjadi ancaman untuk menggoyahkan benteng Harimau Selatan.

Namun, sedikit tugas berat menanti pasukan utara itu apabila dua pemain di posisi pertahanan, Wan Amirul Afiq dan Ariff Farhan digantung permainan dan memaksa Nafuzi memikirkan formula ampuh untuk memperkemaskan bentengnya menjelang aksi kelapan Liga Super 2023.

Bergson kembali bernafsu memburu jaringan peribadi.

Mengenai kesebelasan utama JDT pula, dijangka tidak banyak perubahan yang akan dilakukan oleh Esteban Solari sambil menjangkakan hanya berlaku pertukaran di bahagian serangan dimana ianya akan diisi oleh penjaring sensasi musim lepas, Bergson Da Silva.

Bergson yang masuk sebagai pemain gantian tidak menunggu lama tunjuk taring ketika turun membenam Perak FC, 5-0 di Ipoh tempoh hari.

Pemerhati sukan meramalkan perlawanan pada malam esok akan lebih didominasi oleh anak-anak buah Solari manakala skuad Sang Kenari pula akan bermain dengan lebih defensif sambil melancarkan serangan balas ketika mempunyai peluang.

Tiga mata yang akan diraih JDT akan mengukuhkan lagi cengkaman di puncak manakala Kedah perlu mengelak tewas terutamanya menjadi mangsa belasahan terbaru di Iskandar Puteri.