Selangor FC Hormat Keputusan Faisal Halim
KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim terus menjadi tumpuan menjelang aksi penting Selangor FC apabila statusnya sama ada akan beraksi atau terus berehat masih bergantung sepenuhnya kepada keputusan peribadinya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon menegaskan kelab tidak akan memberi sebarang tekanan terhadap pemain sayap kebangsaan itu sebaliknya menyerahkan kepada Faisal untuk menentukan sama ada mahu diberi ruang menenangkan diri atau kembali ke padang selepas berdepan isu peribadi dan kecederaan kecil di lutut.
Beliau menjelaskan apa sahaja keputusan yang dibuat bekas pemain Terengganu FC itu akan dihormati dan diberi sokongan penuh oleh pengurusan, termasuk ketua jurulatih Katsuhito Kinoshi. Johan dalam masa sama yakin Faisal akan mengharungi situasi ini dengan baik, berdasarkan semangat juang serta kekuatan mental yang pernah ditunjukkan sebelum ini.
Faisal sebelum ini terpaksa diketepikan daripada skuad Harimau Malaya kendalian Peter Clamovski bagi aksi persahabatan menentang Palestin berikutan faktor berkenaan. Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai kesediaannya untuk kembali memperkuat Selangor dalam perlawanan akan datang.
Selepas tempoh rehat antarabangsa bulan ini, Selangor bakal berdepan jadual padat termasuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Malaysian University FT (MUFT) pada 13 September, diikuti perlawanan pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bertemu Bangkok United pada 18 September. Tiga hari kemudian, The Red Giants pula akan turun menentang Kuching City dalam saingan Liga Super.