KEMENANGAN skuad kebangsaan keatas Thailand pada separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bukan sahaja semakin mendekatkan Malaysia ke perlawanan akhir malah membantu tambahan mata ranking buat Harimau Malaya.

Tinjauan FLASH SUKAN di laman Twitter Footy Rankings, kejayaan Malaysia menewaskan Thailand memberikan signifikan yang positif pada posisi Harimau Malaya dalam ranking dunia Fifa.

Kejayaan menewaskan skuad Gajah Perang 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa menyaksikan Malaysia berjaya menambah tiga mata ranking kepada 1074.02 sekaligus naik satu anak tangga ke ranking 142 ketika ini.

 

Sebelum kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara ini bermula, Malaysia menduduki tangga ke-145 dalam ranking dunia hasil kemaskini terakhir pada 22 Disember 2022 dan kini Harimau Malaya berjaya melonjak tiga anak tangga hasil empat kemenangan.

Skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menewaskan Myanmar, Laos, Singapura dan Thailand sepanjang kejohanan ini dan kini boleh menambah tiga lagi mata ranking sekiranya berjaya membenam Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua pada Selasa.

Hasil tiga kemenangan ketika peringkat kumpulan itu, Malaysia berjaya meraih sejumlah 4.42 mata ranking selepas mendapat 2.21 mata ketika menang keatas Myanmar dan 1.74 mata selepas mengatasi Laos dan tambahan 2.23 mata selepas mengatasi Singapura.

 

Jika berjaya mengatasi Thailand pada Selasa, ranking skuad kebangsaan akan melonjak ke tangga 140 dunia sekaligus berjaya naik lima anak tangga dan juga berjaya layak ke perlawanan akhir.

Sementara itu Vietnam jatuh satu anak tangga kembali ke ranking 96 dunia selepas mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama di Stadium Gelora Bung Karno pada Jumaat.

Berikut adalah ranking terbaharu pasukan ASEAN selepas berakhir separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric AFF 2022:

Vietnam: 96 (-)

Thailand 111 (-)

Filipina 134 (-)

Malaysia 142 (+3)

Indonesia 151 (-)

Singapura 157 (-)

Myanmar 160 (-)

Kemboja 177 (-)

Laos 187 (-)

Brunei 191 (-1)

Timor Leste 197 (-)