SOKONGAN dan kepercayaan berterusan dari Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, para penyokong serta nasi lemak menjadi pendorong utama buat Bergson Da Silva menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya khidmatnya diperlukan.

Terdahulu, Tunku Ismail menyatakan Bergson bakal dinaturalisasikan dan akan menjadi prospek jangka pendek skuad kebangsaan untuk menyelesaikan masalah serangan dan penyerang Brazil itu mengakui teruja dan bangga dengan kepercayaan yang diberikan.

Dia yang semakin merasakan dirinya sebagai rakyat Malaysia dengan menggemari nasi lemak tidak pedas turut berasa bangga apabila mendapati respons positif para penyokong yang sentiasa menyokong dirinya sebagai salah seorang prospek pemain Malaysia.

Hantaran Tunku Ismail yang menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir tentang perkara ini apabila saya tiba di negara ini hampir lima tahun dahulu dan ianya satu sebab untuk merasa bangga kerana saya gembira di Malaysia dan di kelab ini dengan segala sokongan yang saya terima dari bos (Tunku Ismail).

“Jika benar peluang itu hadir, saya akan berikan segalanya kerana bos sering berpesan kepada saya supaya terus lakukan yang terbaik sejak dari hari pertama di sini dan dia tahu apa yang terbaik untuk saya dan Harimau Malaya.

“Salah satu sebab untuk berasa bangga adalah penerimaan para penyokong yang sentiasa bersama saya ketika beraksi di padang dan ini menjadi motivasi tambahan buat saya jika dapat mewakili Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Mungkinkah kita boleh melihat gandingan ini di skuad Harimau Malaya selepas ini?

Idea ini turut mendapat sokongan daripada pengendali JDT, Hector Bidoglio yang menyatakan kualiti yang ada pada Bergson mampu menjadikannya aset penting buat skuad kebangsaan Malaysia.

“Bergson adalah pemain yang sangat bagus kerana dia mempunyai kualiti dan dia mampu bermain baik dalam semua keadaan dan pada pendapat saya, dia mampu membantu skuad kebangsaan,” jelasnya.

Sejak menyertai JDT pada 2021, Bergson telah menjaringkan 139 gol dalam semua pertandingan dan berjaya mencatatkan 12 hatrik sekaligus menjadikan dia penyerang paling prolifik pernah dimiliki Harimau Selatan dan selepas ini berpeluang membantu Harimau Malaya.