LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi badan bebas First Instance Body (FIB) mengumumkan Kelantan The Real Warriors FC gagal memperoleh Lesen Kebangsaan bagi kitaran pelesenan 2025-2026 selepas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab MFL yang menilai semua permohonan berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025-2026.
Selain Kelantan TRW, beberapa kelab Liga Super lain turut berdepan masalah pematuhan apabila Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC hanya diberikan Lesen Kebangsaan berserta “sanction”.
Keempat-empat kelab itu diwajibkan mengemukakan maklumat tambahan berkaitan kewangan dan infrastruktur sebelum 15 Julai 2026 bagi memenuhi keperluan pelesenan.
Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC turut dikenakan denda RM45,000 mengikut Artikel 8(f) Peraturan Pelesenan Kelab MFL.
FIB memaklumkan pemantauan berkala akan terus dilakukan terhadap semua kelab yang menerima lesen berserta “sanction” bagi memastikan mereka mematuhi sepenuhnya syarat yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, tujuh kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen AFC dan Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.
Sementara itu, empat kelab AFL Liga A1 Semi-Pro iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa bagi musim 2026-2027.