Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon tetap optimis pasukannya mampu bangkit menewaskan Buriram United F.C. pada aksi final kedua ASEAN Club Championship Shopee Cup meskipun bakal turun tanpa dua tonggak utama dari Jordan.
Selangor akan beraksi di Stadium Buriram, Rabu ini dengan misi memburu kemenangan selepas tewas tipis 0-1 pada aksi pertama minggu lalu hasil jaringan Suphanat Mueanta.
Kim mengakui persembahan pasukannya pada aksi pertama belum mencapai tahap sebenar, namun percaya pemain sudah melakukan persiapan terbaik untuk memburu kebangkitan di Thailand.
Menurutnya, barisan pemain kini berada dalam keadaan cukup yakin selepas melakukan beberapa penilaian serta penambahbaikan taktikal menjelang aksi penentuan itu.
Selangor bagaimanapun kehilangan khidmat Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi yang menyertai kem latihan pusat Jordan bagi persiapan Piala Dunia FIFA 2026.
Kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting sepanjang kempen Shopee Cup selain membantu Jordan layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.
Walaupun kehilangan dua tonggak utama di bahagian tengah dan pertahanan, Kim percaya Selangor memiliki kekuatan berpasukan yang cukup baik untuk mengisi kekosongan tersebut.
Beliau turut menegaskan Selangor bukan pasukan yang bergantung kepada individu sebaliknya bergerak sebagai satu unit.
Kim dalam masa sama menjelaskan gol awal akan menjadi kunci penting dalam usaha memburu kemenangan kerana ia mampu memberi tekanan kepada Buriram di hadapan penyokong sendiri.
Menurutnya, jika Buriram terlebih dahulu menjaringkan gol, tugas Selangor akan menjadi lebih sukar kerana lawan berkemungkinan akan lebih banyak bertahan.
Sementara itu, kapten Selangor, Faisal Halim menyeru rakan sepasukan supaya memberikan segala-galanya dalam aksi terakhir musim ini.
Pemain kebangsaan itu menyifatkan final tersebut sebagai peluang terbaik buat Red Giants menamatkan penantian trofi utama sejak menjulang Piala Malaysia pada 2015.